• blue style
  • red style
  • orange style

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Ahad, 20 April 2014 |
Cetak

Akta Audit 1957

UNDANG-UNDANG MALAYSIA
AKTA 62

 

 

Seksyen 1: Tajuk ringkas
1. (a) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Audit 1957
  (b) - (c) (Ditinggalkan)
2.   Akta ini hendaklah terpakai bagi pengauditan akaun Persekutuan, Negeri-Negeri dan pihak-pihak berkuasa awam dan badan-badan yang ditentukan yang lain yang tertakluk kepada pengauditan oleh Ketua Audit Negara.

Seksyen 2: Tafsiran
1. Perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Akta ini hendaklah, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain atau jika diperuntukkan selainnya dengan nyata dalam Akta ini, mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta61].
   
  Walau apa pun peruntukan dalam subseksyen 1(2), dalam pemakaiannya bagi Akta ini, ungkapan "wang awam" termasuklah wang yang diterima oleh atau untuk mana-mana pihak berkuasa awam yang ditubuhkan di bawah undang-undang Persekutuan atau Negeri dan ungkapan "simpanan awam" meliputi catel yang menjadi harta atau berada dalam milik atau di bawah kawalan mana-mana pihak berkuasa sedemikian.

Seksyen 3: Terma dan syarat perkhidmatan Ketua Audit Negara
  Ketua Audit Negara hendaklah disifatkan sebagai seorang pegawai perkhidmatan awam am Persekutuan dan, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam Perlembagaan Persekutuan dan di bawah Akta ini, undang-undang yang sedang berkuat kuasa berhubung dengan perkhidmatan awam Persekutuan dan anggotanya hendaklah terpakai bagi Ketua Audit Negara

Seksyen 4: Saraan Ketua Audit Negara
1. Saraan Ketua Audit Negara hendaklah sebagaimana yang ditentukan di bawah Jadual Pertama dan Kedua.
2. Ungkapan "saraan" dalam Akta ini hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepada ungkapan itu dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.
3. Semua pembayaran yang dibuat di bawah Jadual Pertama dan Kedua hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang.

Seksyen 5: Tugas Ketua Audit Negara
1.   Ketua Audit Negara hendaklah, mengikut apa-apa cara yang difikirkannya patut, memeriksa, menyiasat dan mengaudit:
  (a) akaun pegawai perakaunan Persekutuan dan Negeri;
  (b) akaun mana-mana kumpulan wang berasingan yang ditubuhkan di sesuatu Negeri atau di Wilayah Persekutuan di bawah Perkara 97(3) Perlembagaan Persekutuan, walau apa pun mana-mana undang-undang yang berlawanan;
  (c) akaun mana-mana pihak berkuasa awam atau badan yang lain jika diperuntukkan sedemikian oleh undang-undang dalam mana-mana hal; dan, jika tidak diperuntukkan sedemikian, atas permintaan pihak berkuasa atau badan itu dan dengan persetujuan Menteri Kewangan yang hendaklah diberitahukan dalam Warta
  (d) akaun mana-mana badan lain, termasuk syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 [Akta 125], yang menerima pemberian atau pinjaman daripada Persekutuan atau Negeri, dan termasuk juga sesuatu syarikat yang lebih daripada separuh modal syer berbayarnya dipegang oleh Persekutuan, sesuatu Negeri atau sesuatu pihak berkuasa awam atau dipegang sedemikian pada agregatnya oleh dua daripada mereka atau lebih:
Dengan syarat bahawa Yang di-Pertuan Agong menentukan sedemikian melalui perintah di bawah Perkara 106(2) Perlembagaan Persekutuan dan walau apa pun mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pengauditan akaun mana-mana badan sedemikian;
  (e) (Dipotong);
  (f) akaun mana-mana pihak berkuasa awam lain jika Menteri Kewangan berpuas hati bahawa kepentingan awam memerlukan akaun pihak berkuasa itu diperiksa, disiasat dan diaudit oleh Ketua Audit Negara walau apa pun mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan akaun dan pengauditan mana-mana pihak berkuasa sedemikian:
Dengan syarat bahawa Menteri tidak boleh menyebabkan akaun mana-mana pihak berkuasa sedemikian yang menjalankan kuasa yang diletakhakkan padanya melalui undang-undang Negeri diperiksa, disiasat dan diaudit oleh Ketua Audit Negara melainkan jika dia telah terlebih dahulu berunding dengan Menteri Besar atau Ketua Menteri Negeri itu.
1.   Fi bagi pengauditan akaun dalam perenggan (1)(b), (c) dan (d) hendaklah ditentukan dalam tiap-tiap hal oleh Perbendaharaan dengan berunding dengan Ketua Audit Negara, dan fi itu hendaklah dipertanggungkan pada kumpulan wang pihak berkuasa atau badan yang berkenaan itu.
2.   Tiada fi kena dibayar bagi pengauditan yang diperlukan mengikut perenggan (1)(f).

Seksyen 6: Corak pengauditan
Ketua Audit Negara hendaklah dalam pengauditannya membuat apa-apa pemeriksaan yang difikirkannya perlu untuk menentukan:
(a)   sama ada segala langkah berjaga-jaga yang munasabah telah diambil untuk melindungi pemungutan dan penjagaan wang awam atau wang lain yang tertakluk kepada pengauditannya;
(b)   asama ada pengeluaran dan pembayaran wang yang tertakluk kepada pengauditannya telah dibuat mengikut kuasa yang sepatutnya dan pembayaran telah dipertanggungkan dengan sepatutnya dan adalah disokong dengan baucar atau bukti pembayaran yang cukup;
  (ba) sama ada perhatian yang sewajarnya telah diambil untuk memberikan penjelasan mengenai, dan untuk memastikan penggunaan, pengawalan, penyenggaraan dan pelupusan yang sepatutnya, segala simpanan awam atau simpanan lain yang tertakluk kepada pengauditannya;
(c)   sama ada segala akaun dan rekod lain telah dan sedang disenggarakan dengan sepatutnya dan tepat;
(d)   sama ada pada pendapatnya wang telah digunakan untuk maksud wang itu diperuntukkan atau dibenarkan dan aktiviti yang berhubungan dengan maksud itu telah dijalankan atau diuruskan dengan cara yang cekap dengan memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap keekonomian dan pengelakan pembaziran atau keborosan; dan
(e)   sama ada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Tatacara Kewangan 1957, dan mana-mana undang-undang bertulis lain yang berhubungan dengan wang atau simpanan yang tertakluk kepada pengauditannya telah dipatuhi dari segala aspek.

Seksyen 7: Kuasa Ketua Audit Negara
1   Dalam melaksanakan fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan atau Akta ini Ketua Audit Negara:
  (a) boleh meminta mana-mana orang memberikan apa-apa penjelasan dan maklumat yang diperlukan oleh Ketua Audit Negara untuk membolehkannya melaksanakan tugasnya;
  (b) boleh, tanpa pembayaran apa-apa fi, menyebabkan carian dibuat dalam dan cabutan diambil dari mana-mana buku, dokumen atau rekod di mana-mana pejabat awam;
  (c) hendaklah diberi akses kepada segala rekod, buku, baucar, dokumen, wang tunai, setem, sekuriti, simpanan atau harta lain yang tertakluk kepada pengauditannya;
  (d) boleh memeriksa dengan sumpah atau ikrar (yang Ketua Audit Negara adalah dengan ini diberi kuasa untuk mengendalikannya) mana-mana orang yang difikirkannya patut diperiksa mengenai semua perkara dan benda yang perlu bagi pelaksanaan wajar fungsinya;
  (e) boleh memberi kuasa mana-mana pegawai awam untuk menjalankan apa-apa siasatan, pemeriksaan atau pengauditan bagi pihaknya dan membuat laporan tentang siasatan, pemeriksaan atau pengauditan itu kepadanya; dan
  (f) boleh mendapatkan nasihat pegawai undang-undang mengenai apa-apa persoalan undang-undang.
 
1.   Mana-mana kuasa yang diberikan oleh seksyen ini kepada Ketua Audit Negara boleh dijalankan oleh seseorang pegawai awam yang diberi kuasa oleh Ketua Audit Negara secara bertulis untuk menjalankan kuasa itu bagi pihaknya.
2.   Ketua Audit Negara boleh memberi kuasa mana-mana orang yang difikirkannya berwibawa untuk menjalankan bagi pihaknya dan di bawah arahannya apa-apa siasatan, pemeriksaan atau pengauditan dan melaporkan dapatan orang itu tentang siasatan, pemeriksaan atau pengauditan itu kepada Ketua Audit Negara dan bagi maksud itu boleh membuat perkiraan bagi pembayaran apa-apa fi dengan persetujuan Perbendaharaan dan pihak yang berkenaan dan mana-mana kuasa yang diberikan oleh perenggan (1)(a), (b), (c) dan (d) kepada Ketua Audit Negara boleh dijalankan oleh orang itu jika dia diberi kuasa oleh Ketua Audit Negara secara bertulis untuk menjalankan kuasa itu bagi pihaknya.
3.   Tiap-tiap orang yang diminta memberikan penjelasan atau maklumat menurut perenggan (1)(a) dan (d) adalah terikat di sisi undang-undang untuk memberikan penjelasan atau maklumat itu, mengikut mana-mana yang berkenaan.

Seksyen 8: Kerahsiaan
1.   Kuat kuasa seksyen 7 tidak terhad oleh mana-mana peruntukan (termasuk peruntukan yang berhubungan dengan kerahsiaan) yang terkandung dalam mana-mana undang-undang lain kecuali setakat yang mana-mana undang-undang lain itu dengan nyata mengecualikan kuat kuasa seksyen itu.
2.   Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam mana-mana undang-undang lain dan walaupun sumpah atau akuan kerahsiaan telah dibuat, seseorang itu tidaklah melakukan suatu kesalahan oleh sebab apa-apa jua yang dilakukan olehnya bagi maksud seksyen 7.
3.   Baik Ketua Audit Negara mahupun mana-mana orang lain tidak boleh mendedahkan atau menyampaikan, kecuali semasa melaksanakan tugas kepada seorang lain yang melaksanakan tugas di bawah Akta ini, apa-apa maklumat yang sampai kepada pengetahuannya secara langsung atau tidak langsung mengikut seksyen 7 dalam mana-mana hal jika orang yang daripadanya maklumat itu telah didapati atau orang yang daripada jagaannya akaun, buku, dokumen, atau kertas yang darinya maklumat itu diperoleh telah dikemukakan tidak boleh mendedahkan maklumat itu secara sah kepada Ketua Audit Negara atau orang lain itu jika tidak kerana Akta ini.
4.   Subseksyen (3) tidak menghalang pembuatan, pendedahan atau penyampaian dalam apa-apa laporan Ketua Audit Negara kesimpulan, pandangan atau syor yang diasaskan pada maklumat yang didapati mengikut seksyen 7.

Seksyen 9: Laporan Audit
1.   Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah sebaik sahaja penyata yang dikehendaki di bawah seksyen 16 Akta Tatacara Kewangan 1957 disediakan, menghantar penyata itu kepada Ketua Audit Negara yang hendaklah dengan serta-merta menyebabkan penyata itu diperiksa dan diaudit dan menyediakan laporannya mengenai penyata itu.
2.   Sekiranya mana-mana penyata sedemikian tidak diterima dalam tempoh tujuh bulan selepas berakhirnya tahun kewangan yang berhubungan dengan penyata itu, Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan suatu laporan mengenai hal itu kepada Yang di-Pertuan Agong yang hendaklah menyebabkan laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat dalam mesyuaratnya yang berikutnya, dan dalam hal laporan yang berhubungan dengan penyata yang kena dihantar oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri, Ketua Audit Negara hendaklah, sebelum mengemukakan laporan itu kepada Yang di-Pertuan Agong, mengemukakan satu salinan laporan itu kepada Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu yang hendaklah menyebabkannya dibentangkan di hadapan Dewan Undangan dalam mesyuaratnya yang berikutnya.
3.   Satu salinan tiap-tiap laporan yang berhubungan dengan akaun Persekutuan yang disediakan mengikut subseksyen (1) hendaklah dihantar oleh Ketua Audit Negara kepada Menteri yang, jika Dewan Rakyat tidak bersidang pada masa itu, hendaklah menyebabkan penyata dan laporan itu disiarkan.
4.   Jika pada bila-bila masa didapati oleh Ketua Audit Negara bahawa apa-apa ketakteraturan yang serius telah berlaku dalam pengakaunan atau penjagaan wang awam atau simpanan awam di bawah pengauditannya, dia hendaklah dengan serta-merta membawa perkara itu kepada pengetahuan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan, dalam hal wang atau simpanan sesuatu Negeri atau pihak berkuasa awam, juga kepada pengetahuan pihak berkuasa kewangan Negeri atau kepada ketua pihak berkuasa awam itu, mengikut mana-mana yang berkenaan.
5.   Ketua Audit Negara boleh, dalam apa-apa laporan yang dikemukakan mengikut Perkara 107(1) Perlembagan Persekutuan atau selainnya, membuat syor dan boleh secara umum memberikan ulasan tentang semua perkara yang berhubungan dengan akaun, wang dan simpanan awam.
6.   Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan perakuan dan pandangan mengenai akaun mana-mana kumpulan wang berasingan yang ditubuhkan di Wilayah Persekutuan atau sesuatu Negeri di bawah Perkara 97(3) Perlembagaan Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu atau kepada mana-mana pihak berkuasa lain yang diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan atau Negeri.
7.   Melainkan jika dikehendaki selainnya oleh undang-undang atau arahan Menteri, jika Ketua Audit Negara mengaudit akaun mana-mana pihak berkuasa atau badan lain, dia hendaklah menyampaikan perakuan dan pandangannya mengenai akaun itu kepada ketua pihak berkuasa atau badan itu dan satu salinan perakuan dan pandangan itu kepada Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri yang bertanggungjawab bagi pihak berkuasa atau badan itu, dan Ketua Audit Negara boleh, pada bila-bila masa sebelum menyampaikan perakuan dan pandangan itu, membawa kepada pengetahuan ketua pihak berkuasa atau badan itu atau Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri yang bertanggungjawab bagi pihak berkuasa atau badan itu apa-apa perkara yang pada pendapatnya memerlukan perhatian serta-merta.
8.   Walau apa pun peruntukan seksyen ini, Ketua Audit Negara boleh pada bila-bila masa mengemukakan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai apa-apa perkara yang berbangkit daripada pelaksanaan mana-mana tugasnya atau penjalanan mana-mana kuasanya di bawah Akta ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis, dan boleh mengemukakan satu salinan mana-mana laporan sedemikian kepada Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri atau kepada seseorang Menteri.

Seksyen 10: Peraturan
1.   Menteri boleh, selepas berunding dengan Majlis Kewangan Negara, membuat apa-apa peraturan yang selaras dengan Akta ini sebagaimana yang perlu bagi maksud Akta ini.
2.   Semua peraturan yang dibuat di bawah seksyen ini hendaklah dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat dalam mesyuaratnya yang berikutnya selepas peraturan-peraturan itu dibuat.

Seksyen 11: Kuasa untuk meminda Jadual
 
Yang di-Pertuan Agong boleh meminda peruntukan-peruntukan Jadual melalui perintah yang disiarkan dalam Warta
 
SENARAI PINDAAN
Undang-undang
yang meminda
Tajuk ringkas Berkuat kuasa
dari
P.U. 348/63 Perintah Pengubahsuaian Undang-Undang (Tatacara Kewangan dan Audit) (Peluasan) 1963 16-09-1963
P.U. (A) 57/71 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) No. 72, 1971 01-01-1970
Akta A64 Akta Audit (Pindaan) 1971 31-08-1971
Akta A430 Akta Audit (Pindaan) 1978 03-03-1978
Akta A514 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1981 27-08-1976
Akta A558 Akta Audit (Pindaan) 1983 01-01-1981
Akta A795 Akta Audit (Pindaan) 1991 01-10-1988
P.U.(A) 364/91 Perintah Audit (Pindaan Jadual Pertama) 1991 01-01-1991
P.U.(A) 78/92 Perintah Audit (Pindaan Jadual Pertama) 1992 p.2(1): 01-01-1989
p.3(1): 01-01-1992
P.U.(A) 33/98 Perintah Audit (Pindaan Jadual Pertama) 1998 01-01-1995
P.U. (A) 337/2000 Perintah Penyemakan Undang-Undang (Pembetulan Akta Audit 1957) 2000 31-08-1999
P.U. (A) 406/2000 Perintah Audit (Pindaan Jadual Pertama) 2000 01-01-2000
P.U.(A) 227/2002 Perintah Audit (Pindaan Jadual Pertama) 2002 01-01-2002
P.U.(A) 178/2003 Perintah Audit (Pindaan Jadual Pertama) 2003 01-01-2003
P.U. (A) 128/2006 Perintah Audit (Pindaan Jadual Pertama) 2006 01-01-2005